Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya, Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)
MASYARAKAT Melayu Islam di rantau ini secara tradisi mengamalkan bacaan Surah Yasin sebagai pendekatan memohon keberkatan Allah. Begitu jugalah dengan kelaziman membaca ayat Kursi.
Jika diamati dengan pemahaman mendalam, ayat Kursi yang mempunyai 170 huruf itu mengandungi pengajaran akidah, khususnya akidah terhadap sifat Allah yang berbeza dengan sifat seluruh makhluk ciptaan-Nya. Apabila seseorang mukmin memahaminya secara jelas dan tepat, akan terhindarlah daripada anasir khurafat dan tahyul yang menyelubungi kehidupan manusia kini.
Daripada 6,666 ayat al-Quran, ayat Kursi berada pada kedudukan tertinggi menjadikannya hadiah teragung buat umat Nabi Muhammad SAW. Ayat ini diturunkan selepas berlaku hijrah Rasulullah SAW ke Madinah dan diriwayatkan ketika turunnya ayat ini, ia diiringi beribu-ribu malaikat disebabkan kemuliaannya.
Pada kala itu, syaitan dan iblis gempar kerana ada halangan buat mereka untuk menyesatkan manusia. Atas faktor kemuliaan dan kehebatan ayat Kursi itu, maka Rasulullah SAW mengarahkan Zaid Thabit menulis dan menyebarkannya kepada semua Muslimin.
Apakah bukti amalan membaca ayat Kursi dikatakan sangat mujarab menghalang godaan syaitan dan jin. Kisah dialami sahabat Rasulullah SAW menjadi sandaran kukuh membenarkannya. Satu kisah dilaporkan ayah Abdullah Ubay sebagai pengukuh mustajabnya pembacaan ayat Kursi dijadikan rutin harian.
Dikisahkan, pada suatu malam ketika melihat kebun miliknya, ayah Abdullah terserempak haiwan seakan-akan anak baru baligh. Dia mengucapkan salam dan dijawab makhluk itu. Dengan kehairanan ayah Abdullah bertanya: “Siapakah kamu? Adakah kamu jin atau manusia? Dengan ringkas makhluk itu menjawab: Aku daripada golongan jin.”
Ayah Abdullah meminta jin itu menghulurkan tangan untuk bersalam. Dia terkejut tatkala melihat tangan jin itu berbulu seperti anjing, lalu bertanya: “Apakah begini keadaan jin diciptakan? Kata jin itu: “Ya. Bahkan ada lebih buruk daripada ini.” Komunikasi dua makhluk Allah itu bersambung.
Tanya ayah Abdullah: “Apakah yang mengundang kamu ke mari wahai jin?” Maka jawab jin: Sampai berita kepadaku kamu seorang dermawan. Jadi, aku mahu mendapatkan sedekah daripadamu.”
Ayah Abdulllah terus bertanya lagi: “Jika benar, aku ingin bertanya kepadamu, apa yang dapat melindungi kami daripada godaanmu? Dengan nada tegas, jin itu tanpa berselindung berkata: “Ayat Kursi”.
Keesokan hari, ayah Abdullah berjumpa Rasulullah SAW lalu menceritakan apa yang berlaku. Selepas mendengarnya, Rasulullah SAW berkata: “Apa dinyatakan jin itu benar, tetapi dia tetap makhluk kotor.” (Hadis riwayat al-Hakim)
Sebelum tidur, kita digalak membaca ayat Kursi kerana Rasulullah SAW mengamalkannya, Allah akan mengurniakan keselamatan kepada diri dan jiran.
Selain itu, sebagai pendinding rumah atau kedai daripada kecurian, disarankan membaca ayat Kursi sebagai ikhtiar dengan izin Allah.
Hal ini pernah diamalkan Abdul Rahman Auf yang mengatakan, apabila masuk ke rumahnya, maka dibaca ayat Kursi pada empat penjuru sebagai langkah keselamatan dan pelindung daripada syaitan.
Imam Ibnu Qayyim menceritakan: “Pada suatu ketika aku pernah jatuh sakit, tetapi aku tidak menemui doktor atau ubat penyembuh. Lalu aku berusaha menyembuhkan diriku dengan surah al-Fatihah dan ayat Kursi. Aku ambil segelas air zam-zam dan membacakan kedua-dua ayat tersebut berulang kali, lalu aku meminumnya hingga aku mendapatkan kesembuhan yang menakjubkan. Seterusnya aku mempraktikkan kaedah itu untuk mengubati pelbagai penyakit dan merasakan manfaat yang sangat besar. Kemudian aku khabarkan kepada orang ramai agar menggunakan kaedah sama.”
Ini berlaku dengan izin Allah dan kita seharusnya menggunakan cara sama sebagai pendekatan alternatif dalam mengubat penyakit. Ayat Kursi adalah ayat Allah yang hebat dan mujarab dalam amalan perubatan.
Artikel diambil dari segmen Agama, Berita Harian Online. Terima kasih...
No comments:
Post a Comment