Kita tidak dapat mengelak pengaruh buruk yang sering mengelilingi kita setiap saat sepanjang hayat kita. Sudah tentulah ia angkara iblis yang sudah berjanji menyesatkan umat manusia.
Firman Allah pada surat Al-Araf ayat 17-18, iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur"
Contoh pengaruh buruk yang paling halus tanpa kita sedari adalah pada program di televisyen dan tayangan filem yang memaparkan kisah-kisah berintikan perkara tahyul, seks, watak adiwira rekaan dan hiburan melampau tanpa kawalan tegas dari pihak bertanggungjawab.
Bukanlah saya mahu menuding jari 100% pada pihak berwajib kerana memang saya akui ia tugas sukar. Malah saya juga kadang-kala tewas. Tapi saya dan isteri ikhtiarkan agar anak-anak juga tidak ketinggalan disuapkan dengan cerita rasul dan nabi, kisah peperangan para nabi dan pejuang Islam dalam mengembangkan Islam.
Hari ini saya ingin berkongsi video kuliah berkenaan pemimpin Islam yang berjaya menakluki Konstatinopel pada 1453 seperti sabda Rasulullah: "Konstatinopel akan ditakluki oleh seorang pemimpin yang sebaik-baik pemimpin dan bala tentera yang terbaik" - HR Ahmad
Video kuliah bertajuk Muhammad Al-Fatih ini disampaikan Ustaz Ir. Felix Siauw dari Indonesia. Beliau seorang penulis, pendakwah, bersama yang menginginkan tegaknya syariah-khilafah, hamba yang sangat berharap diampuni Allah di hari pembalasan. - Info laman FB Ustaz Ir. Felix Siauw. Maklumat lanjut layari www.felixsiauw.com.
Sedikit ringkasan yang sempat saya catit ketika menonton video ini.
SATU:
- Kisah ini menceritakan seorang pemuda hebat berumur 21 tahun yang tak sepopular seperti hero fiksyen yang biasa anak-anak kita jadikan idola.. seperti Superman, Batman, Spiderman.
- Tapi dia bukan adiwira rekaan.. kisahnya pernah disebut Rasulullah SAW.
- Beliau adalah Muhammad Al-Fatih yang berjaya menakluk Konstatinopel pada 1453 bersama bala tenteranya selepas 5 kali cubaan menaklukinya oleh pemimpin awal menemui kegagalan:
1) Abu Ayyub al Anshari (674) - Khalifah Umaiyah
2) Maslamah bin Abdul Malik (717) - Khalifah Umaiyah
3) Khalifah Harun al-Rasyid (811) - Khalifah Abbasiyah
4) Sultan Beyazid i (1396) - Khalifah Abbasiyah
5) Sultan Murad II (1422) - Khalifah Abbasiyah
DUA:
- Bisyarah (khabar gembira) daripada Allah dan Nabi Muhammad SAW tentang kejadian pada masa depan. Bisyarah bukan sahaja berkaitan janji Allah pada akhirat tapi juga berkaitan hal dunia.
1) Contoh: Syurga.. seluas langit dan bumi, dipenuhi tumbuhan, buah-buhan, ada bidadari... dll
2) Contoh:
- Israk Mikraj Rasulullah SAW.
- Hadis Rasulullah SAW berkenaan Konstatinopel akan ditakluki oleh seorang pemimpin yang sebaik-baik pemimpin dan bala tentera yang terbaik. - HR Ahmad
TIGA:
Dialog ustaz bersama papinya.
Papi: Kenapa masuk Islam?
Ustaz: Sebab Islam agama yang sempurna
Papi: Sempurna dari mana? Siapa lagi banyak miskin, tak makan, tak berpendidikan? Muslim atau Non Muslim?
Ustaz: Muslim... Tapi Pi, yang Papi lihat itu bukan Islam sebaliknya Muslim. Muslim berbeza dengan Islam. Zaman sekarang Muslimnya tidak mempratikkan Islam secara keseluruhan.
Papi: Sudah tahu banyak Muslim tidak mahu mempratik Islam. Kenapa masih mau convert ke Islam?
Ustaz: Justeru itulah tugas saya menyedarkan mereka kembali kepada Islam.
Papi: Berapa ramai Muslim di dunia?
Ustaz: 1.7 billion Muslim seluruh dunia.
Papi: Diantara 1.7 billion itu berapa ramai yang seperti kamu, yakin dan mengamalkan Islam sempurna.
Ustaz: Tak lebih daripada 3%
Papi: Mustahil kamu boleh ubah mereka.
Ustaz: Tapi jika tidak mula dari '1' kita tidak bisa ubah segala-galanya. Memang mustahil tapi itu janji Allah dan Rasulullah SAW. Bisyarah adalah kekunci keyakinan saya.
Oleh yang demikian, jika kita tidak bertindak sekarang dalam mendidik anak-anak kita menjadi insan soleh siapa lagi yang boleh kita harapkan?
Hanya pada Allah aku menyembah dan padaNya aku memohon pertolongan.
Jom amalkan doa Nabi Zakaria: "Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan". - [3:38]
Amin.
No comments:
Post a Comment