Saya selalu berulang-alik dari Perak ke tempat kerja di Kuala Lumpur. Biasanya saya menaiki bas di Pudu Raya ketika hampir Maghrib. Saya berniat untuk melakukan jamak ta’khir (menunaikan solat Maghrib dalam waktu Isyak) semasa bas berhenti di mana-mana hentian rehat dan rawat (R&R). Masalahnya, ada kala bas tidak berhenti sehingga sampai depan rumah. Jadi bagaimana status solat jamak kerana saya bukan lagi seorang musafir.
Ahmad,
Ipoh.
Apa yang penting untuk diketahui adalah perbezaan sebab yang membolehkan jamak dan qasar. Jamak dan Qasar walaupun kedua-duanya adalah rukhsah (kemudahan) dalam solat, tetapi sebab yang mengharuskan qasar dan jamak adalah berbeza.
Faktor membolehkan seseorang qasar adalah berada dalam keadaan musafir sedangkan faktor membolehkan jamak adalah kerana kesulitan yang dalam istilah fekah disebut sebagai ‘masyaqqah’.
Jika berlaku kesulitan seperti yang dibenarkan syarak, maka seseorang boleh jamak solat walaupun tidak berada dalam keadaan musafir. Demikian juga sebaliknya, seseorang boleh qasar solat walaupun tidak mengalami apa-apa kesulitan asalkan dia berada dalam keadaan musafir.
Oleh itu, ada sebahagian ulama menfatwakan bahawa apabila seseorang telah sampai ke sesuatu destinasi contohnya sampai di Kuala Lumpur untuk berkursus, maka sebaik saja sampai, hilanglah rukhsah jamak bagi dirinya kerana dia lagi tidak berada dalam kesulitan.
Mungkin dia tinggal di hotel yang entah berapa bintang dan tempat kursus pun mungkin di hotel yang sama, serba-serbi mudah, tekan butang lif saja sudah sampai di pintu bilik. Walaupun begitu, rukhsah qasar tetap berlaku kerana dia dikira masih dalam musafir.
Mazhab Syafie
Tetapi Mazhab Syafie mengira selama seseorang berada dalam musafir dia tetap berada dalam kesulitan berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Musafir itu secebis dari azab (berada dalam kesukaran).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jadi, apabila seseorang sudah sampai ke destinasinya dan berada di situ tidak melebihi dari tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan hari berangkat pulang) dan dalam tempoh itu beliau tidak berniat untuk bermukim, maka beliau masih dikira berada dalam keadaan musafir.
Dan selama mana berada dalam keadaan musafir, beliau dianggap masih mempunyai kesukaran tertentu seperti dinyatakan dalam hadis.
Imam Ibnu Hajar al Asqalani mentafsirkan azab dalam musafir itu sebagai rasa tidak selesa yang mungkin berlaku akibat daripada perjalanan seperti lenguh-lenguh, sakit badan dan sebagainya.
Pada hari ini, ada juga orang yang tidak tahan dengan penghawa dingin dalam bas mengakibatkan selesema, batuk-batuk tidak dapat tidur dan pelbagai lagi, terutama kepada golongan berumur.
Oleh itu, kesukaran yang mendapat pertimbangan syarak dan kerana itu walaupun sudah sampai ke destinasi, rukhsah untuk jamak masih ada kerana kesukarannya masih belum hilang sepenuhnya.
Dibolehkan jamak
Bagi menjawab soalan tuan, tiada masalah untuk jamak solat kerana jamak memang disyariatkan dan urusan bas adalah di luar kawalan kita. Ada pemandu bas yang memang tidak ambil berat soal ini walaupun sudah diingatkan.
Jika anda tidak sempat jamak solat semasa dalam perjalanan dan sampai ke destinasi seperti rumah sendiri, kolej penginapan bagi pelajar atau seseorang berniat untuk mukim di tempat itu empat hari atau lebih, maka dibolehkan jamak secara tertib, solat Maghrib dulu kemudian Isyak secara berturut-turut.
Jamak, qasar berturut-turut
Jika destinasi itu bukan tempat bermukim atau tiada niat untuk tingga lebih dari empat hari, maka dia dianggap dalam musafir, dibolehkan jamak dan qasar secara berturut-turut.
Artikel diambil dari segmen Agama, Berita Harian muka 33 (18 Oktober 2012) oleh Azhar Abdul Wahab. Terima kasih...