Menjelaskan kepada mereka yang halal dan haram, peringatan dan hukum-hakam, serta perbezaan antara haq dan batil.
Sempena Ramadan, marilah kita dengan penuhi iman dan takwa bermuhasabah apakah selama ini kita mengambil al-Quran seperti Allah SWT perintahkan atau hanya beriman dengan sebahagian daripada al-Quran atau mengabaikannya?
Bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat Allah (al-Quran), dan di kalangan kamu ada rasul-Nya (Muhammad SAW). Sesiapa pegang teguh kepada (agama) Allah, ia beroleh petunjuk hidayah ke jalan betul (lurus) - Surah Ali-Imran, Ayat 101 Kebanyakan kita hanya berusaha menjaga jasad al-Quran. Kita tidak meletakkan al-Quran di lantai, di kerusi atau tempat lain yang tidak sesuai. Kita marah jika mendapati sesiapa saja tidak menjaga al-Quran.
Kita turut marah apabila mendengar dan melihat al-Quran dipijak, dikoyak, dibakar atau dibuang. Kita tidak berdiam diri jika al-Quran dihina atau dipermainkan dalam apa bentuk sekalipun.
Amat dikesali kerana segelintir umat Islam hanya menjaga jasad al-Quran, tetapi tidak menghayati kandungannya, menerapkan segala perintah dan larangannya.
Umat Islam sensitif dan marah apabila al-Quran dihina, tetapi perbuatan mereka sendiri seolah-olah 'menghina atau mengetepikan' al-Quran dengan tidak mengamalkan ajaran di dalamnya.
Mimbar juga bimbang ada umat Islam hanya menjadikan al-Quran sebagai perhiasan, disimpan di rumah dan hanya digunakan untuk hal mistik seperti menjadikannya azimat, tangkal, pelaris, penolak bala dan pengusir syaitan.
Mereka juga lebih suka mengambil al-Quran sebagai 'kitab magik' yang boleh menguntungkan jualan, memurahkan rezeki, berubat, menghalau hantu dan kepentingan peribadi lain.
Mimbar ingin mengingatkan semua Allah SWT menurunkan al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, malah lebih daripada itu. Membaca al-Quran adalah ibadah (sunat) dan beroleh pahala kerananya, tetapi mengamalkan isi kandungannya wajib.
Bagi mereka yang tidak memikul amanat Allah SWT yang diturunkan melalui al-Quran, Allah membuat perumpamaan yang hina ke atas mereka. Firman Allah yang bermaksud:
"Bandingan orang yang dipikulkan kepadanya Kitab Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya, samalah seperti keldai yang memikul kitab besar. Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim." (Surah al-Jumu'ah, ayat 5)
Bayangkanlah jika ada orang yang mengatakan kepada kita, anda seperti keldai. Apakah perasaan kita?
Apalagi yang menyatakan itu ialah Allah SWT yang kita harapkan keredaan dan keampunan-Nya. Orang beriman, bertakwa dan mengharapkan reda Allah tentu takut akan perumpamaan itu.
Persoalan besar apakah jawapan kita apabila Allah SWT melontarkan soalan kepada mereka yang membaca al-Quran seperti dalam ayat 101, surah Ali-Imran.
Firman Allah bermaksud: "Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat Allah (al-Quran), dan di kalangan kamu ada rasul-Nya (Muhammad SAW). Sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, sesungguhnya ia beroleh hidayah ke jalan betul (lurus)."
Ayat ini menunjukkan ada umat Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan sunnah di sisinya disebabkan mereka ingkar ayat Allah.
Antara pendekatan yang mengangkat martabat umat ialah dengan mengamalkan ajaran al-Quran secara menyeluruh sebagai acuan kehidupan.
Oleh itu, mimbar menyeru marilah bersama mengambil manfaat untuk meningkatkan ketakwaan dan mengubah segala kelakuan buruk kita dengan mengamalkan segala isi kandung al-Quran supaya kehidupan kita lebih diredai Allah SWT.
Sent from my iPad
Artikel diambil dari segmen Agama di laman web Berita Harian Online.
No comments:
Post a Comment