ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam menambah kekayaan dan anak keturunan. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu." (Surah Al-Hadid, ayat 20)
Walaupun manusia tahu dunia yang sementara ini penuh dengan tipu daya syaitan, namun sudah menjadi kelaziman mereka cenderung kepada hal keduniaan dan berlumba memilikinya. Sebilangan kecil saja berjaya melawan godaan nafsu dan mengetepikan pujukan syaitan.
Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ahmad, dinyatakan ada tiga golongan manusia yang kecewa dan rugi ketika hidup di dunia, pertama, mereka yang apabila nama Baginda disebut tidak mengucap selawat.
Golongan kedua yang kecewa dan rugi apabila berkesempatan hidup bersama kedua-dua orang tuanya, tapi tidak sampai mampu masuk syurga dan ketiga, mereka yang berkesempatan hidup pada Ramadan tapi dosanya tidak terampunkan.
Begitu jadinya apabila kesempatan yang diberikan Allah kepada manusia semasa hidupnya tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya.
Contohnya, golongan pertama, alangkah mudahnya untuk mendapat pahala tetapi kerana tidak tahu atau sengaja mengingkarinya, maka hidup kecewa dan rugi. Sukar sangatkah untuk berselawat kepada Rasulullah SAW.
Dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW, barang siapa yang membaca selawat saat disebut nama Nabi Muhammad, maka pahala dan syafaat daripadanya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang yang berilmu pasti tahu bahawa kelak nanti di akhirat ada suatu masa di mana semua manusia akan mencari syafaat Nabi Muhammad. Orang yang terbiasa membaca dan memperbanyak selawat kepada Rasulullah pada masa hidupnya tentu akan mendapat keutamaan atas syafaatnya. Orang yang tidak berilmu tidak memahami hal itu sehingga mereka lalai dan tidak melakukannya."
Berbakti kepada kedua-dua orang tua dengan menjaga makan minumnya, tidak menyakiti hatinya serta mengambil berat kebajikannya adalah peluang tidak harus dipersiakan anak kerana ganjaran yang dijanjikan Allah adalah syurga.
Akan tetapi masih ada anak yang tidak mengambil kesempatan berharga ini ketika kedua-dua orang tuanya masih ada. Banyak laporan mengenai ibu bapa yang disisih, ditinggal serta dihantar anak mereka ke rumah orang tua.
Bagi mereka yang masih mempunyai ibu bapa, ambillah peluang keemasan yang ada ini untuk berbakti kepada mereka. Lakukanlah seikhlas hati.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam peliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia." (Surah Al-Isra', ayat 23)
Dicatatkan dalam sejarah bahawa Allah berwasiat kepada Saad bin Abi Waqqash supaya berbuat baik kepada ibunya, meskipun ibunya kafir kepada-Nya. Firman-Nya yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan kepada manusia (berbuat) kebaikan kepada kedua orang tuanya." (Surah Al-Ankabut, ayat 8)
Golongan ketiga yang kecewa dan rugi ialah mereka yang tidak merebut peluang memohon keampunan Allah pada Ramadan yang Allah buka seluas-luasnya rahmat, keampunan serta terlepas dari api neraka.
Diriwayatkan oleh Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barang siapa berpuasa Ramadan dengan keimanan dan mengharapkan pahala (keredaan) Allah, maka diampuni dosanya yang terdahulu."
Terserahlah kepada kita sama ada ingin memanfaatkan peluang yang dibuka oleh Allah ini ataupun mensia-siakannya.
*Artikel oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir diambil dari segmen Agama, Berita Harian Online.
Terima kasih...
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone