
Menentang orang yang menyalahi syarak dengan perbuatan dan perkataan adalah dituntut. Ketiadaan penolakan kemungkaran dengan hati adalah tanda ketiadaan iman. Kata Abdullah ibn Mas'ud: “Binasalah orang yang tidak mengenal yang makruf dan mungkar dengan hatinya.”
Benci kepada kemungkaran adalah dalil kuat iman dan tidak menghiraukan kemungkaran adalah dalil lemahnya iman. Setiap orang wajib menolak atau menghapuskan kemungkaran menurut kemampuannya.
Jauhkan diri daripada tergolong dalam golongan orang yang derhaka terhadap Allah dan rasul-Nya. Kewajipan bagi mereka yang beriman dan mengetahui ialah memberi penjelasan kepada orang jahil dengan ajaran yang baik.
Setiap orang digalakkan melakukan perkara baik dan dilarang melakukan perkara merosakkan iman.
Reda dengan dosa adalah berdosa dan reda dengan kufur adalah kufur. Selemah-lemah iman seseorang itu ialah mengatasi kemungkaran hanya dengan berdoa saja dan tidak didapati darjat keimanan seseorang yang lebih lemah daripada itu.
Daripada Abu Yaala Syaddad bin Aus, Nabi SAW bersabda: “Orang yang bijak itu ialah mereka yang mengambil berat mengenai dirinya dan beramal untuk selepas mati. Manakala orang yang lemah itu ialah mereka yang menurutkan hawa nafsunya sedangkan dia bercita-cita untuk menjadi hamba Allah yang diredai.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Orang yang beriman hendaklah sentiasa bermuhasabah diri dan beramal seperti yang dituntut oleh agama, kerana ganjaran pahala adalah berasaskan amalan yang benar-benar dilaksanakan, bukan dengan angan-angan kosong.
Artikel diambil dari segmen Agama, Berita Harian Online. Terima kasih...
No comments:
Post a Comment