Ketahuilah bahawa bencana dahsyat, perbuatan yang paling buruk, dan aib
adalah berpunca daripada kurangnya perhatian masyarakat terhadap
mengerjakan ibadah solat lima waktu, solat Jumaat, solat jemaah dan
solat sunat yang lainnya.
Pada hal semua itu adalah ibadah yang dengannya Allah SWT
meninggikan darjat dan menghapuskan dosa maksiat seseorang. Ibadah solat
adalah cara ibadah seluruh penghuni langit dan bumi.
Cuai kerana urusan dunia
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Langit merintih dan memang ia
patut merintih, kerana pada setiap tempat untuk berpijak terdapat
malaikat yang bersujud atau berdiri (solat) kepada Allah Azzawajalla."
(Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad).

Orang yang meninggalkan ibadah solat kerana cuai oleh urusan dunia
akan malang nasibnya, berat seksaannya, rugi perdagangannya, besar
musibahnya, dan panjang penyesalannya. Firman Allah SWT bermaksud:
"Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya bagi
orang yang beriman."(An-Nisa : 103).
Abu Hurairah RA meriwayatkan: "Selepas Isyak aku bersama Umar bin
Khattab ra pergi ke rumah Abu Bakar as-Siddiq untuk suatu keperluan.
Sewaktu melalui pintu rumah Rasulullah SAW, kami mendengar suara
rintihan. Kami pun berhenti sejenak. Kami dengar beliau menangis dan
meratap: “Ah...andaikan saja aku dapat hidup terus untuk melihat apa
yang diperbuat oleh umatku terhadap solat. Ah...aku sungguh menyesali
umatku."
Rasulullah menangis
“Wahai Abu Hurairah, mari kita ketuk pintu ini,” kata Umar dan
kemudian mengetuk pintu. “Siapa?" tanya Aisyah. “Aku bersama Abu
Hurairah.” Kami meminta izin untuk masuk dan beliau mengizinkannya.
Setelah masuk, kami lihat Rasulullah SAW sedang bersujud dan menangis
sedih, beliau berkata dalam sujudnya: “Wahai Tuhanku, Engkau adalah
pengawalku bagi umatku, maka perlakukanlah mereka sesuai dengan
sifat-sifat-Mu dan jangan perlakukan mereka sesuai perbuatan mereka.”
“Ya Rasulullah, ayah dan ibuku menjadi tebusanmu. Apa gerangan yang terjadi, mengapa engkau begitu sedih?”
“Wahai Umar, dalam perjalananku ke rumah Aisyah selepas mengerjakan
solat di masjid, Jibril mendatangiku dan berkata: “Wahai Muhammad,
Allah Yang Maha Benar mengucapkan salam kepadamu, kemudian ia berkata,
bacalah.” “Apa yang harus kubaca?” “Bacalah firman Allah yang bermaksud:
“Maka datanglah sesudah mereka pengganti (yang buruk) yang
mensia-siakan solat dan menurutkan hawa nafsunya, mereka kelak akan
menemui kesesatan.” (Maryam : 59).
“Wahai Jibril, apakah sepeninggalanku nanti umatku akan mencuaikan solat?”
“Benar, wahai Muhammad, kelak di akhir zaman akan datang sekelompok
manusia daripada umatmu yang mencuaikan solat, mengakhirkan solat
(hingga keluar dari waktunya), dan menurutkan hawa nafsu. Bagi mereka
satu dinar lebih berharga daripada solat.” (Hadis ini juga diriwayatkan
oleh Ibnu Umar).
Abu Darda' berkata: “Hamba Allah yang terbaik adalah yang
memperhatikan matahari, bulan dan awan untuk berzikir kepada Allah,
yakni untuk mengerjakan solat.” Diriwatkan pula bahawa amal yang pertama
kali diperhatikan oleh Allah ialah solat. Jika solat seseorang cacat,
maka semua amalnya akan ditolak.
Perintah ahli keluarga bersolat
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai Abu Hurairah,
perintahkanlah keluargamu untuk solat, kerana Allah akan memberimu
rezeki dari arah yang tidak pernah kamu duga.”
“Barang siapa meninggalkan solat dengan sengaja, maka ia telah
kafir." (Riwayat al-Bazzar dari Abu Darda'). Sabda Rasulullah SAW lagi
bermaksud: “Barang siapa bertemu Allah sedang ia mencuaikan solat, maka
Allah sama sekali tidak akan mempedulikannya.” (Riwayat Tabarani).
Artikel diambil dari segmen Agama, Berita Harian Online oleh Ibrahim Abdullah. Terima kasih...